April 19, 2015

BERTAUBATLAH JANGAN BERTANGGUH


TAUBAT adalah kembali taat kepada Allah SWT dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon dari Allah SWT. Setiap individu digesa bertaubat untuk menyucikan dari dosa besar dan kecil, sama ada dilakukan dengan tidak sengaja apatah lagi jika disengajakan. Hukum bertaubat adalah wajib sama ada dosa kepada Allah SWT mahupun dosa sesama manusia.

Bertaubat kepada Allah SWT hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati yang ikhlas kerana taubat yang tiada keikhlasan tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap individu terbabit. Taubat yang terbaik adalah taubat yang penuh penyesalan, keinsafan dan rasa rendah diri kepada Allah SWT iaitu TAUBAT NASUHA. Di dalam Islam, digariskan cara-cara memohon keampunan dan rahmat Allah SWT. Di antara syarat-syarat taubat yang di perkatakan oleh para ulamak berdasarkan hadis dan ayat-ayat al-Quran ialah:


  1. Berhenti serta merta daripada dosa yang dilakukan itu.
  2. Mewujudkan rasa menyesal di atas perbuatan dosa yang telah dilakukan.
  3. Berazam tidak akan melakukan kembali dosa-dosa terdahulu.
  4. Jika dosa yang melibatkan hak insan lain hendaklah dipulangkan semula hak insan tersebut dan meminta ampun dan maaf daripada insan tersebut.



Berikut 4 tanda taubat diterima Allah SWT:

  • Putus hubungan dengan kawan yang tidak baik (jahat) dan bersahabat dengan orang soleh.
  • Menghentikan maksiat sebaliknya rajin melakukan perintah Allah.
  • Hilang rasa kesenangan dunia di hatinya, lalu selalu ingat kesusahan di akhirat.
  • Percaya jaminan Allah dalam soal rezeki, lalu sibuk mengerjakan perintah Allah.

Sifat orang yang mengenali Allah SWT ada enam, antaranya:

Jika ia ingat kepada Allah SWT, ia berbangga.
Jika ingat kepada dirinya, ia merendah diri.
jika ia melihat ayat-ayat Allah (al-Quran), ia mengambil iktibar.
Jika ingin bermaksiat, ia menahan diri.
Jika ingin kemaafan Allah SWT, ia gembira.
Jika ingat dosa-dosanya, ia terus memohon keampunan dari Allah SWT.



No comments:

Post a Comment