Dalam ayat 282, Surah al-Baqarah dinyatakan dengan panjang lebar betapa kalau hendak memberi dan mengambil hutang, jumlah dan tempoh membayar balik perlu dituliskan berserta dua saksi.
Dalam ayat berikutnya pula, dinyatakan bahawa sekiranya tidak ditulis pun, orang yang berhutang hendaklah menjelaskan hutangnya kerana Allah mengetahui apa yang mereka lakukan.
Dalam kata lain, walaupun tanpa bertulis dan saksi, Allah menjadi saksi kepada transaksi mereka itu.
Membayar balik hutang adalah sesuatu yang wajib dilakukan sehingga harta orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka terlebih dulu sebelum diagihkan kepada waris. Hal ini disebut dalam ayat 11, Surah an-Nisa'.
Tidak cukup dengan firman Allah dalam al-Quran, penekanan kepada menjelaskan hutang ini disebutkan dalam hadis Rasulullah.
Contohnya, sabda Nabi bermaksud: "Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang." (Hadis riwayat Muslim).
Kita maklum bahawa syuhada dijanjikan syurga. Namun, hadis ini menunjukkan bahawa apa yang menghalang mereka daripada masuk syurga adalah hutang yang tidak dijelaskan.
Itu syuhada, jika mereka pun wajib membayar hutang, apa lagi kita manusia biasa.
Islam bukan saja mewajibkan umatnya membayar hutang, malah menjanjikan bahawa kalau berhutang dengan niat untuk membayar, Allah akan memudahkan kita.
Sebaliknya, kalau berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah Maha Kaya dalam perhitungan-Nya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: "Swsiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan musnahkan harta bendanya." Maksud ayat 'Allah akan membayarkan' adalah Allah akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat membayar hutangnya.
Jadi, jelas betapa Islam mewajibkan umatnay membayar hutang.
No comments:
Post a Comment